Tentang saya: Pendidikan
Assalamualaikum wbt dan salam bahagia.
Pada artikel yang lepas aku telah berkongsi sejarah bagaimana Achmad.net ini tercipta.
Artikel kali ini pula aku ingin berkongsi tentang sejarah pendidikan yang aku pernah lalui.
Aku sebenarnya bukanlah seorang yang pandai dalam pembelajaran. Jauh sekali genius bijak pandai. Aku lahir dari keluarga yang sederhana dan belum mempunyai benchmark dalam prestasi pendidikan. Tetapi aku yakin pada satu iaitu usaha mengatasi kelemahan dan itu yang merubah tahap pendidikanku.
Pendidikan rasmi aku bermula pada sekitar tahun 1994 & 19995 di Tadika Kemas Kampung Serusup. Waktu ini aku tidak berapa ingat apa yang aku telah belajar. Gambaran yang ada di dalam ingatan aku hanyalah makan mee sahaja dan pernah merasa gemuruh dan malu ketika masuk ke kelas.
Selepas itu, aku telah dipindahkan sekolah ke sekolah Cina iaitu Sjk Chien Sin Tuaran. Pada ketika ini, gambaran yang aku masih ingat adalah diajar bagaimana cara untuk meminta izin ke tandas jika ingin membuang air kecil.
Selain itu, aku masih ingat yang cikgu cina aku mengajak untuk makan babi. Ketika itu berada di 'Kedai Tengah' iaitu sebuah kedai runcit Cina juga stesen menunggu bas untuk ke Kampung Serusup. Syukur pada ketika itu aku sudah mengetahui yang memakan babi adalah haram, lalu aku menolak ajakan itu dengan baik.
Oh ya, aku masih ingat ketika bersekolah di sekolah Cina tersebut cikgu ada memberi kerja rumah iaitu menulis semula huruf-huruf cina. Aku tidak membuatnya tapi kakak aku yang buatkan.
Ketika umur 7 tahun, ibu (aku panggil mama) menghantar aku ke sekolah rendah chien sin (berhadapan dengan SMK Badin Tuaran) tapi aku menolak untuk bersekolah di sana. Akhirnya mama aku menghantar aku ke Sekolah Kebangsaan Serusup (SK Serusup).
Pada tahun 1996 ketika itu aku sudah menduduki kelas tahun 1 di SK Serusup. Waktu ini aku belum mengenal erti belajar. Aku hanya minat mewarna dan melukis. Pada waktu itu, aku tidak dapat menerima pembelajaran dengan baik kerana aku menolak untuk belajar. Aku pernah mendapat johan pertandingan mewarna di sekolah tersebut.
Tanpa mengingat tahun ke berapa di SK Serusup, aku telah mendapat nombor terbaik di kelas semasa peperiksaan. Ketika ini aku rasa aku lebih pandai dari murid yang lain hakikatnya tidak sehingga aku berpindah sekolah di SK Pekan Tuaran pada sekitar tahun 1998.
Di Kg. Serusup, aku juga bersekolah agama. Aku lebih meminati subjek agama berbanding subjek di sekolah kebangsaan. Kerana minat, banyak amali yang aku kuasai termasuklah hafalan surah, menulis jawi / khat dengan cantik, dan membaca Al-Quran dengan baik.
Tahun 1998 aku berpindah ke Sk Pekan Tuaran tanpa rela hati. Perpindahan ini atas desakan mama aku sebab mereka telah membuka perniagaan restoran dan kami menetap di Pekan Tuaran.
Lebih kurang darjah 2 atau darjah 3 di sekolah tersebut, ada satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan dan ini adalah turning point pertama untuk aku menjadi seorang murid yang mempunyai misi untuk score A, namun ia hanya hangat-hangat tahi ayam.
Pada suatu hari semasa kelas muzik, sebagai murid baru aku dipanggil oleh cikgu muzik bernama cikgu hadis (kalau tidak silap nama). Beliau menyuruh aku menjawab soalannya. "Ini apa?" Tanyanya. Aku jawab "Tidak tahu". "Ini semibrif, pakcikkk!" Katanya. Lalu aku rasa malu di depan murid yang lain. Waktu itu ada seorang murid perempuan sungguh mengetawakan aku. Kemudian aku bertambah rasa malu dan dalam masa yang sama aku katakan di dalam hati, "Nanti aku akan hebat dari kau".
Setelah beberapa kali peperiksaan, aku sentiasa mendapat nombor paling akhir di dalam kelas manakala nombor terbaik adalah murid perempuan itu. Aku bertambah rasa tidak puas hati.
Pun begitu, aku masih kuat bermain dan tidak banyak belajar. Di sekolah itulah aku baru mengenali permainan DiGimon, permainan-permainan dari Bandai dan sebagainya. Sepanjang bersekolah di sini, aku tidak pernah mendapat keputusan baik.
Pada tahun sekitar 1999 aku telah berpindah sekolah ke Sekolah Kebangsaan Sembulan, Kota Kinabalu.
Setiap sekolah mempunyai mindset yang berbeza. Murid-murid di sekolah ini sangat aktif dalam ko-kurikulum dan kurikulum. Sekolah ini banyak menjadi johan dalam pelbagai pertandingan. Boleh dikatakan bahawa sekolah ini adalah sekolah berprestasi tinggi, dan syukurlah aku berada di sekolah ini.
Ketika darjah 4 sebagai murid yang baru masuk, aku masih terpinga-pinga di dalam kelas untuk belajar. Aku rasa bosan dan tidak minat untuk belajar. Rata-rata cikgu push murid untuk belajar dan aku belum bersedia dengan culture tersebut. Aku lebih memilih untuk bersukan. Hasilnya aku telah berjaya mewakili sekolah dalam sukan hoki ke peringkat Kebangsaan. Ketika inilah aku menyedari yang aku mempunyai kemampuan diri dalam sesuatu bidang sukan. Walaupun begitu, tahap minat terhadap pembelajaran di kelas masih lemah. Tahap lemah aku seperti tidak mengenal bentuk pecahan seperti 1/2, 3/4 dan sebagainya. Apatah lagi operasi tambah, darab dalam bentuk pecahan.
Ketika naik ke darjah 5, bermulalah cabaran dalam pembelajaran aku. Ketika ini aku mendapat seorang cikgu matematik yang garang. Nama cikgu itu Mariana. Walaupun dia garang tetapi aku masih belum dapat menerima pelajarannya dengan baik sehingga aku diberi tanggungjawab sebagai seorang Pengawas Sekolah.
Ketika aku menyandang jawatan sebagai Pengawas Sekolah, ada seorang cikgu bisik kepadaku. "Achmad tidak malu kah kalau jadi pengawas tapi keputusan peperiksaan kamu buruk?". Aku terus kaku dan mula berfikir. Di sinilah turning-point utama untuk aku mula belajar bersungguh-sungguh.
Sejujurnya aku rasa malu jika aku mempunyai keputusan yang teruk sedangkan aku adalah seorang Pengawas Sekolah.
Pada tahun 2001 aku telah dilantik menjadi Ketua Murid Sk Sembulan dan jawatan ini sangat memberi impak terhadap prestasi pendidikan dan kepimpinanku.
Untuk aku belajar bersungguh-sungguh, apa yang aku lakukan ketika itu adalah escape sekolah agama di Masjid Sembulan. Pagi pergi sekolah kebangsaan manakala petang sepatutnya ke sekolah agama tapi sebaliknya aku berhenti di sesuatu tempat dan tukar baju uniform sekolah agama ke baju biasa dan terus ke rumah flat guru di SK Sembulan. Aku buat ada lah dalam berbulan juga dan tidak disedari oleh keluargaku.
Setiap petang aku ke rumah cikgu Mariana dan cikgu Halena. Cikgu Halena adalah guru subjek sains. Mereka berduanl tidak tahu pun aku sebenarnya ada sekolah petang yang sepatutnya aku hadir. Jadi, mereka berdua memberi aku buku latihan sebagai latih tubi untuk subjek Sains dan Matematik.
Balik rumah, aku tak belajar pun. Seperti kebanyakkan keluarga yang tidak mementingkan pembelajaran di rumah begitu juga aku. Aku tak buka buku pun tak ada siapa yang tegur. Tetapi aku berbeza dengan orang lain kerana di luar rumah aku fokus belajar dengan cikgu-cikgu.
Adakala aku pernah merasakan aku sudah lali dengan pattern soalan UPSR.
Sehingga pihak sekolah telah menjadikan aku pelajar projek sebagai target pihak sekolah untuk score A dalam UPSR. Kami diberikan tuisyen percuma di YAPEIM Sembulan. Tuisyen ini memantapkan lagi teknik menjawab UPSR.
Pada suatu hari ketika cuti panjang, dan waktu ini UPSR sudah pun lama berlalu. Aku hadir ke sekolah untuk membantu guru-guru mengemas bilik guru.
Sambil mengangkat kotak bersama seorang cikgu HEM berkata kepadaku, "Tahniah Achmad kamu dapat 5A UPSR". Aku mendengar kata-kata itu tanpa perasaan sedikit pun. Mungkin cikgu itu bergurau agaknya kerana dia mengucapkan pada bukan waktu yang rasmi. Ya, aku tidak merasakan apa-apa istimewa ketika itu.
Sekolah bermula dan ada pengumuman keputusan UPSR dalam perhimpunan. Sekali lagi aku telah diumumkan sebagai pelajar yang mendapat keputusan cemerlang UPSR 5A tetapi aku masih tidak merasakan apa-apa yang istimewa. Adakah aku burnt-out dalam belajar? Itu aku tidak tahu. Yang aku tahu, apa yang aku target berjaya dicapai. Ada yang pernah bagitahu aku dia pernah ternampak di newspaper yang namaku adalah nombor ke-3 terbaik keputusan UPSR di Sabah pada tahun 2001. Jika benar, aku tidak hairan kerana pengorbanan aku untuk mendapatkan 5A sangat tinggi.
Bagaimana pula keputusan peperiksaan di sekolah agama sembulan? Tidak kurang baiknya walaupun aku escape tidak hadir berbulan ke sekolah aku masih mendapat keputusan baik. Mungkin kerana aku mempunyai asas kuat sejak di sekolah agama kampung serusup. Aku ditawarkan untuk menyambung pelajaran dalam bidang agama tetapi aku menolaknya kerana minatku terhadap sekolah berasrama penuh sains amat tinggi.
Pada tahun 2002 aku melangkah masuk Sekolah Menengah Sains Sabah (SMESH) sehingga tingkatan 5.
Pada awalnya aku berasa menyesal dan tertekan kerana memilih SMESH sebagai sekolahku. Ini kerana SMESH pada ketika itu kucar-kacir. Hidup tidak menentu.
Tingkatan 1 hidup dalam ketakutan dek culture buli dan ragging yang sangat kuat. Pagi pergi sekolah belajar, petang dan malam menjadi mangsa ragging. Emosi terganggu walaupun tidak dipanggil untuk diragging tetapi emosi merasakan diragging tanpa henti.
Bayangkan kalian tinggal di dalam sangkar harimau, bersama-sama tinggal dengan seekor harimau. Kalian rasa tidak selesa. Tidur salah tak tidur pun salah. Sentiasa rasa berjaga-jaga dan perasaan ini berlarutan sehingga tingkatan 3.
Selain itu tidak mempunyai tempat asrama yang selesa kerana waktu itu kami tinggal di Dewan. Terdapat pembangunan sedang dijalankan. Tetapi bagiku sangat kucar-kacir. Akhirnya dalam sekitar tingkatan 2 barulah kami selesa mendapat masuk ke dorm asrama menggantikan Dewan.
Berbalik kepada hal berkaitan pendidikan, bagaimana mungkin aku dapat fokus untuk belajar dalam keadaan yang tertekan hidup di dalam asrama?
Akibatnya semangat belajar aku pudar dan aku kembali ke lembah kehancuran. Aku mula tidak serius dalam pembelajaran. Tidak fokus dengan apa yang cikgu terangkan di kelas. Waktu ini tingkatan 1 yang mungkin aku rasakan tidak perlu score A pun. PMR dan SPM masih jauh.
Sekali lagi aku lupakan pelajaran sebaliknya aku fokus dengan aktiviti luar kelas seperti sukan bola keranjang, hoki, bola sepak, olahraga, kriket dan aktiviti beruniform. Semua aktiviti ini aku cemerlang. Aktiviti yang aku wakili sehingga ke peringkat kebangsaan berkali-kali.
Berpatah balik ke hal pembelajaran aku sewaktu tingkatan 1. Aku sedar aku tidak fokus belajar ketika itu dan terlibat dengan cinta monyet. Aku berkenalan dengan seorang pelajar perempuan dan pandai dalam pembelajaran. Aku malu kalau aku mempunyai keputusan buruk sedangkan dia sebaliknya. Aku malu.
Boleh dikatakan sepanjang tingkatan 1 Delta, aku tidak serius untuk belajar dek gangguan emosi dan tekanan di asrama.
Tetapi semasa kemasukan ke tingkatan 2, aku meletakkan harapan tinggi untuk ke kelas terpandai iaitu 2 Alpha.
Ini adalah mustahil sebab untuk masuk ke 2 Alpha mestilah mendapat ranking no.1 hingga no.30 (kalau tidak silap aku). Manakala no.31 hingga no.60 adalah kelas 2 Beta dan seterusnya kelas 2 Sigma dan 2 Delta.
Pada tahun 2003, masuklah kami ke tingkatan 2. Semasa perhimpunan pagi cikgu telah membuat pengumuman.
"Kamu pergi ke kelas dan cek nama kamu yang dilekatkan di pintu kelas. Kalau ada nama kamu maka itulah kelas kamu duduki sepanjang tahun".
Jadi kami semua berlari ke kelas dan cari nama masing-masing yang dilekatkan. Aku mulakan dengan kelas 2 Delta. Yes! Tiada nama aku.
Aku teruskan ke kelas sebelah. Cari nama Achmad Noorafzam Bin Noortaip. Ada!! Aku akur itulah kelas aku. Sedangkan aku menginginkan kelas 2 Alpha. Kami (aku dan dia) berasingan kelas. No wonder dia adalah pelajar yang pandai.
Aku berkata dalam hati "aku janji tidak akan pihak kelas 2 Alpha (dengan merajuk). Dan aku akan pastikan akan dapat kelas 3 Alpha tahun depan!".
Benar, sepanjang tahun aku tidak pun lalu ke kelas 2 Alpha. Melawat kawan pun tidak. Bermain pun tidak. Aku tekad.
Aku sebenarnya seorang yang lemah dalam pelbagai subjek. Salah satunya adalah subjek Bahasa Inggeris. Pelajar perempuan itu pula sebaliknya. Dia hebat berbahasa Inggeris mahupun penulisan.
Ada satu situasi seorang pelajar lelaki tingkatan 2 Alpha telah mengejek aku. Subjek Bahasa Inggeris aku lemah. Dia ejek sebab aku tidak pandai BI sedangkan pelajar perempuan yang aku suka itu hebat BI. Sekali lagi aku malu dan aku pendam untuk memastikan subjek BI aku mendapat A pada peperiksaan akhir tahun tingkatan 2.
Apa aku lakukan untuk aku skor A dalam subjek BI? Aku panggil dia (pelajar perempuan itu) datang ke kelas PREP petang. Setiap hari. Aku katakan padanya,
"Ajarkan aku english. Ajar aku asasnya. Ajar aku seperti budak sekolah tadika".
Lalu dia ajarkan aku asas pertama sekali iaitu teknik menulis karangan.
"Tambah huruf S selepas kata kerja selepas He atau She". Inilah yang dia ajarkan kali pertama dalam hidup aku tahu benda ini.
Setiap hari dia letakkan nota semangat di dalam laci dan kamus supaya aku lebih bersemangat. "Semoga Maju Jaya".
Buku cerita pertama berbahasa Inggeris yang aku baca dalam hidup aku adalah berjudul "The Dreadful Children" yang diberi olehnya. Dia menyuruh aku membaca habis buku tersebut ketika cuti dan meminta aku untuk tulis summary dalam bentuk karangan lalu dia akan periksa.
Peperiksaan Akhir Tahun Tingkatan 2 berakhir. Aku terkejut usaha aku tidak sia-sia kerana subjek BI aku mendapat gred A mengalahkan lelaki yang mengejekku. Aku berpuas hati yang teramat amat amat sekali!
Dengan subjek BI skor A ini juga membantu aku mendapat ranking ke 30 (kalau tidak silap) dan menjadikan impian aku tercapai iaitu masuk ke Tingkatan 3 kelas Alpha. Kelas yang terpandai di kalangan budak-budak pandai.
Aku sedar aku tidak pandai pun tetapi aku rasa sebuah kepuasan apabila aku dapat mencapai target yang diingini. Aku dapat singkirkan pelajar tingkatan 2 Alpha dulu ke 2 Beta (kelas ke-2 pandai) dan aku mengisi ranking terakhir untuk kelas 3 Alpha. Biarlah terakhir janji dapat kelas 3 Alpha bersama orang yang aku cintai.
Pada tahun 2004 adalah tahun kritikal bagiku kerana tingkatan 3 akan menduduki peperiksaan PMR.
Seperti biasa, aku tidak segenius pelajar 3 Alpha yang lain. Mereka semua kebanyakkannya suka menelaah buku dan belajar. Tetapi aku pula terpaksa membahagikan masa dengan sebijak-bijaknya kerana aku juga aktif dalam bidang ko-kurikulum terutamanya unit beruniform.
Ada juga di kalangan mereka yang aku anggap genius kerana mereka tak belajar pun pandai.
Pelajar-pelajar di kelas 3 Alpha bagaikan dewa bagiku. Mereka hanya perlu fokus bila ada cikgu dan selebihnya mereka hanya perlu buat latihan sedikit dan terus pandai.
Aku pula, perlu berusaha lebih keras daripada mereka. Di asrama aku mengamalkan sikap suka belajar dan menghafal. Mengisi masa terluang dengan belajar dan menghafal. Dinding locker, katil dan dinding dorm habis aku lekat dengan formula belajar. Pada jam3 pagi aku bangun dan solat tahajjud. Selesai solat teruskan menghafal sehingga waktu masuk waktu Solat Subuh.
Pada tahun itu juga, aku banyak membeli buku-buku motivasi. Buku paling aku suka adalah buku berjudul "Fokus" dan aku lupa siapa penulisnya. Jackson Ladzim antara kawan yang bawa aku untuk fokus apabila membaca sesuatu.
Pada ketika umur inilah aku mula kenal apa itu FOKUS.
Hasil usaha dan bantuan dari Allah SWT, aku berjaya mendapat keputusan cemerlang PMR iaitu 7A 1B.
Apa yang B? Subjek Bahasa Melayu.
Kenapa boleh dapat B pula? Kerana aku terlalu fokus dengan subjek Bahasa Jepun. Ketika itu aku tidak minat subjek Bahasa Melayu dan kononnya subjek itu mudah bagiku. Akibat terlalu yakin, PMR dapat gred B subjek BM. Padam muka aku.
Tapi aku tidak kisah pun. Aku tidak sedih sebab aku tahu sebab kenapa. Sebaliknya aku gembira kerana sekali lagi selepas UPSR aku mendapat keputusan yang cemerlang dalam sejarah hidup aku.
Tahun 2005 bersamaan dengan tingkatan 4 di sekolah yang sama. Aku dianggap sedang 'honeymoon' kerana rasa berpuas hati mendapat keputusan cemerlang PMR. Merasakan SPM masih lama lagi.
Semasa tingkatan 4 ini, aku tidaklah berapa fokus dengan pembelajaran. Aku terlalu ikut rentak pelajar yang lain. Waktu ini aku berada di kelas 4 Beta. Aku tidak memasang target baru untuk merebut kelas Alpha.
Tingkatan 4 aku terlalu fokus dengan aktiviti luar kelas. Aktiviti sukan dan uniform menjadi aktiviti yang gembira bagiku. Tahun inilah aku banyak meninggalkan kelas kerana terlalu aktif dengan ko-kurikulum. Bunyi seperti tidak seimbang dengan pembelajaran bukan?
![]() |
Kem Tahunan di Kem Paradise Kota Belud |
![]() |
Kenangan semasa Kem Tahunan di Kem Paradise Kota Belud |
Bulan demi bulan, masuklah tahun terakhir di SMESH. Tahun 2006 adalah tahun terpenting bagi SMESH iaitu SPM untuk batch kami. Kalau tidak salah, aku berada di kelas 5 Beta.
Sewaktu aku di tingkatan 5, aku sangat tidak menyukai subjek Sejarah. Akibat itu, sejarah aku pernah mendapat E iaitu gagal. Aku pernah dimasukkan ke dalam kelas pemulihan.
Selain itu, subjek matematik tambahan juga menjadi subjek yang aku tidak minat. Walaupun begitu, aku masih boleh membawa subjek addmath ini dengan baik.
Subjek yang aku paling minat adalah Biologi. Aku banyak skor subjek ini. Tetapi SPM aku kecundang subjek biologi dan mendapat gred C. Aku tahu sebabnya. Bukan kerana aku tidak belajar. Tetapi Allah SWT telah gelapkan hati aku ketika menjawab peperiksaan SPM untuk subjek Biologi. Mungkin tiada keberkatan dan redha daripada cikgu biologi. Itu firasatku dan aku akur aku pernah buat salah dengan cikgu biologi. Tetapi ini tidak membuatkan aku sedih sebab aku tahu sebabnya.
Pada SPM 2006, aku telah mendapat keputusan 6A 3B 1C.
Bagi sesetengah pelajar, keputusan ini cukup baik. Tapi bagiku tidak. Apabila aku mendapat tahu keputusan SPM aku begitu, aku cukup sedih dan menangis. Aku menyendiri dan tidak gembira seperti kawan-kawan yang lain. Ini kerana aku yakin boleh dapat 9A 1B tetapi sebaliknya.
Walau bagaimanapun, aku akur dengan semua keputusan sejak UPSR, PMR dan SPM.
Tahun 2007, aku menyambung pelajaran ke Kolej Matrikulasi Labuan (KML) di Labuan selama setahun sebagai pelajar PST dalam jurusan Fizikal.
Pada asalnya, aku bercita-cita ingin menjadi seorang doktor. Tapi memandangkan subjek biologi SPM aku mendapat C, maka keinginan itu pudar sepenuhnya.
Ketika di KML, ekonomi keluarga kurang memberangsangkan. Mujurlah sepanjang berada di KML dibekalkan dengan biasiswa sebanyak RM1000 untuk 1 semester dan dengan duit inilah aku belanjakan sepenuhnya untuk hidup berjauhan dengan keluarga.
![]() |
Bersama rakan sekelas di KML |
Ketika berada di KML, suasana agak mengejutkan. Di situ dengan pertama kalinya aku merasakan tiada siapa-siapa boleh mengawal jadual hidup aku. Belajar atau tidak, tiada siapa yang tahu.
![]() |
Aktif semasa di KML, mewakili pertandingan Kawad Kaki. Dapat tempat ke-3 seluruh Matrikulasi |
Aku terbuai sekejap dengan budaya kebebasan. Mujurlah ada seorang pensyarah yang sangat baik mengajak aku selalu ke masjid, memberi makan kepadaku. Beliau adalah Sir Azlie. Terima kasih Sir.
Antara jasa yang beliau berikan kepadaku adalah menjaga aku ketika aku sakit pada peperiksaan akhir KML. Waktu itu aku lemah kerana terkena demam cacar. Aku tidak dapat menjawab peperiksaan dengan fokus. Ada soalan-soalan aku abaikan sahaja. Keputusan? Hanya mendapat lulus 2 pointer ke atas.
Walau bagaimanapun aku bersyukur, sir Azlie banyak membantu aku dari segi emosi, rohani dan fizikal.
Selepas balik dari Labuan, aku sempat memberitahu bapaku tentang future plan.
Aku mengatakan kepadanya yang aku sudah tidak minat untuk melanjutkan pelajaran ke mana-mana institusi. Aku berkeras untuk bekerja mendapatkan sumber pendapatan sendiri.
![]() |
Menjadi majikan muda kepada pelajar praktikal dari UiTM di Sulaman Lake Resort Tuaran |
Tetapi hasrat itu terhalang. Bapaku menginginkan aku melanjutkan pelajaran.
"Ambillah sekurang-kurangnya Ijazah. Yang penting ada Ijazah". Katanya.
Aku terpaksa akur. Aku tidak berani untuk mengecewakan orang tua. Aku takut untuk melawan dan masa yang sama aku belum ada halatuju ketika itu.
Seingat aku, aku telah mengisi borang UPU memilih kelapan-lapan pilihan iaitu Universiti Malaysia Sabah (UMS) supaya aku mendapat universiti terdekat dengan tempat aku tinggal.
Aku tidak terfikir untuk pergi jauh untuk melanjutkan pelajaran. Aku hanya mahu UMS.
Pada tahun 2008 akhirnya aku diterima masuk melanjutkan pengajian di UMS dalam bidang Software Engineering (SE). Kononnya bidang ini adalah bidang buangan bagi pointer rendah. Aku layan saja. Aku langsung tak minat pun SE.
Minat ku semakin lama semakin merundum untuk belajar Software Engineering. Sebab utama adalah pensyarah yang tidak pandai menarik minat terhadap subjek yang dipelajari.
Aku faham memanglah semuanya dari diri pelajar itu sendiri. Minat atau tidak kena hadap dan mesti skor. Tapi, tetap tidak logik bagi aku untuk membuat coding dan tulis di atas kertas. Aku tambah tak setuju. Aku memberontak sendiri.
Ya lah, aku memberontak pun tak membawa kesan kepada pensyarah yang mengajar sebaliknya ia memberi kesar besar terhadap keputusan peperiksaan aku. Tapi waktu itu aku tak kisah pun dengan pointer sebab aku memang tak minat belajar.
Sepanjang di UMS, aku menyertai PALAPES iaitu Pasukan Latihan Pegawai Simpanan. Pendek kata Askar Wataniah. Aku lebih fokuskan aktiviti ini berbanding mengejar pointer.
![]() |
Mengetuai Perbarisan Pentauliahan Kadet di UTHM 2011 |
Di PALAPES, aku serius ingin menjadi seorang pegawai askar. Sepanjang penglibatan ini, aku telah dianugerahkan sebagai Kadet Terbaik dan mendapat Pedang dari Sultan Johor. Pencapaian ini sangat bermakna bagiku.
![]() |
Menerima Pedang Kehormat daripada Sultan Johor |
Tahun 2011 sepatutnya aku graduasi sebaliknya aku telah extended sehingga tahun 2012.
Selepas tahun 2011, aku telah melapor diri ke Kem Harrington, Kota Kinabalu. Ya lah, nak jadi askar mestilah kena aktif lapor diri di kem.
Sehingga 1 ketika nama aku naik untuk masuk ke askar wataniah kerahan. Maksudnya askar bergaji tetap. Tetapi aku terpaksa memadamkan hasrat itu kerana ada yang lebih memerlukan daripada aku. Maka aku bagi laluan untuknya dan dia berjaya mendapatkannya. Sejak dari itu, aku sudah tidak bersemangat untuk meneruskan hasrat menjadi seorang askar.
Aku beralih ke karier pekerjaan awam. Aku telah cuba gunakan segulung ijazah Software Engineering untuk mendapatkan kerja namun tidak mendapat tempat mungkin kerana pointer aku tak begitu cantik. Lagipun untuk bekerja dalam dunia teknologi di syarikat sekurang-kurangnya memerlukan pengalaman.
Aku berputus asa mencari pekerjaan dalam bidang software engineering. Aku pun mencari pengalaman sendiri.
Aku 'bertapa' di Kunak. Aku belajar programming seorang diri sehingga aku cukup mahir.
Apabila aku sudah cukup mahir, aku menjadikan ilmu tersebut untuk mencari pengalaman. Belajar berniaga, mencari pelanggan dan menyelesaikan masalah mereka. Aku telah mencipta pendapatan sendiri sehinggalah sekarang.
Begitulah sedikit sebanyak cerita tentang Pendidikan yang aku pernah lalui.
Cerita ini terpaksa aku nukilkan secara terperinci sedikit kerana aku ingin berkongsi pengalaman bagaimana aku seorang budak lelaki kampung seperti orang lain mengejar pendidikan dari zero dan mengenal potensi diri dan tahu menggunakannya.
#MariBerkawan
Yang benar,
Achmad Noorafzam
Comments
Post a Comment