Aku tegur anak sekarang tanpa nanti

Kelmarin, tengah aku sedang bersiap-siap memakai baju untuk pergi ke pekan kelihatan anak pertamau Alzam kegembiraan. Entah gembira kerana apa. Lompat sana sini. Kegirangan dan agak bising.

Si adik pula, Alham berada di tilam. Berbungkus dengan selimut. Dia mungkin sedang bermain 'tapuk-tapuk'.

Tiba-tiba kegirangan membawa duka. Si abang ini hilang kawalan. Dia melompat ke tempat adiknya yang sedang berbaring di tilam.

Aku pun mengagak sesuatu. Mesti si abang ini 'landing' tak kena tempat.

Betul lah, si abang salah 'landing'. Mungkin lututnya 'landing' tepat pada muka adiknya.

Apa lagi, adiknya teriak dan menangis sepuas hati.

Darma pula cepat-cepat buka kain selimut dan perhatikan si Alham. Kami yakin mesti kena pada hidungnya.

Tepat! Hidung si Alham berdarah. Darma cepat-cepat menguruskan darah yang sedang keluar dari hidung si Alham. Sehelai demi seheli tisu basah digunakan. Banyak. Merah pekat.

Aku pun hampiri Alzam. Alzam tercengang takut akan dimarahi. Aku cepat-cepat capai 'sideburn' si abang ini dan tarik sambil memarahinya.

Selesai, tiada lagi darah yang sedang keluar. Darma pun hentikan lap. Kami bergegas jalan untuk ke Pekan Tuaran.
.
.
Setibanya di Pekan Tuaran, aku pun capai telefonku. Teringin untuk tarik tali setelah memarahi Alzam. Aku hantar pesanan mesej kepada Alzam. Ya, Alzam ketika umur 6 tahun ini sudah pandai membaca dan mengeja serba sedikit. Pandai menggunakan Whatsapp juga.

Benar aku marah padanya. Tetapi ianya sekadar mengajar dan mendidik. Aku biarkan supaya dia tahu, perbuatannya itu salah yang boleh mengakibatkan orang lain cedera.

Aku selalu pesan kepadanya agar lebih berhati-hati selalu. Sentiasa perhatikan adik dan jaga adik dengan baik.

Aku faham, Alzam bukanlah sengaja. Tetapi bagi aku biarlah suasana ini menjadi pengajaran kepadanya dan menjadi aktiviti pahit manis kami bersama.

Dalam mesej Whatsapp itu, aku sempat berpesan nasihat kepadanya agar dia lebih berhati-hati supaya disayangi semua. Menjadi insan yang baik-baik.

Lalu, aku menawarkan kejutan 'suprise' kepadanya. Aku dan Darma tahu, dia sukakan suprise. Bila tengok respon si abang ini apabila ingin diberikan kejutan, dia membawa satu positif emosi kepadanya.

Sebelum aku menawarkan kejutan kepadanya, Alzam ada menghantar mesej kepada Darma. Dia serlahkan emosi menggunakan emoji berapi. Kami faham dia sedang marah. Sebab itulah kami cuba tarik tali agar suasana lebih selamat.

Kami berdua pun singgah di MR DIY membeli mainan. Mainan yang boleh dimain bersama adiknya. Biar mereka lebih erat.

Kami pun tiba di rumah.

Sebelum kami berikan kejutan ini, seperti biasa aku sempat memberi nasihat, pesanan dan amaran agar dia lebih beringat dan berhati-hati dalam tindakan.

Sebenarnya, apa yang dia telah lakukan bukanlah perkara yang serius. Tetapi begitulah kisah hidup kami. Bila ada berlaku kesalahan kecil atau besar, kami tidak akan membiarkan. Kami mesti tegur on-the-spot. Paling penting di akhirnl kisah mesti ada 'happy ending' seperti perjalanan hidup sebuah drama.

Aku tak akan biarkan kisah hidup kami berjela-jela penuh penyesalan tanpa membangkit semangat menjadi lebih baik.

Aku berdoa agar anak-anakku menjadi insan yang baik dan soleh. Biar hari ini kami tegur, kerana apabila anak sudah meningkat dewasa, bukanlah senang untuk menegur.

Achmad Noorafzam
24.08.2021
Tuaran

Comments

Popular posts from this blog

Permohonan i-Sinar KWSP Dibuka. Bagaimana daftar i-Sinar?

Bagaimana daftar program SAVE 2.0 rebat RM200 SHOPEE?

Bagaimana cara daftar i-Sinar KWSP?